Friday, February 20, 2009

kanak-kanak hydrocephelus


Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, itulah ungkapan bagi menggambarkan penderitaan seorang bayi lelaki Aldy Timbun, tujuh bulan yang menderita akibat pembesaran kepala secara tidak normal atau Hydrocephalus.


Sehubungan itu, ibu bapa kepada bayi berkenaan, Timbun Tambakau, 46 dan ibunya Buhu Tongkisus, 33, dari Kampung Losou Takulug, Kota Belud berharap ada pihak tampil membantu menghulurkan sumbangan untuk meringankan bebanan perbelanjaan keluarga itu.
Bapa bayi itu berkata, penyakit anaknya dikesan sebelum dilahirkan tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Berat badan Aldy kini lebih kurang 10 kg.


Katanya lagi, sebelum ini dia dan isterinya menghantar anak bongsu mereka untuk mendapatkan rawatan biasa di Hospital Kota Belud dan doktor di hospital itu mengesahkan anak mereka perlu menjalani pembedahan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.
“Anak saya perlu dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth untuk pemeriksaan lanjut sebelum menjalani pembedahan, tetapi kami tidak dapat menghantarnya kerana tiada wang untuk membiayai kos perbelanjaan yang tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di HQE, di sini, kelmarin.


Katanya lagi, dia tidak berkemampuan kerana dia hanyalah seorang petani dan tidak mempunyai pendapatan tetap terpaksa menanggung isteri dan lapan anaknya yang lain.
“Saya berharap anak saya akan cepat sembuh,” katanya yang mempunyai dua anak perempuan dan tujuh anak lelaki.


Akibat daripada masalah kewangan usaha mendapatkan rawatan lanjut, tidak dapat diteruskan sehinggalah pada 28 Jan lalu, pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Mukim Losou Kota Belud, ibu bapa membawa bayi mereka menghadiri majlis itu.


Pegawai Perhubungan Parlimen Kota Belud, Idris Nanti menjelaskan, Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan yang bertemu dengan kedua ibu bapa bayi itu pada majlis berkenaan bersimpati dengan penyakit yang dihadapi oleh bayi dan masalah keluarga itu.
“Atas keprihatinan Datuk (Abdul Rahman), dia mengambil tindakan segara dengan mengurus segala perkara yang perlu dan menghantar anak itu ke sini (HQE) untuk menjalani pembedahan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Konsultant Neurosurgeon HQE, Dr. Pulivendhan Sellamuthu berkata, penyakit itu dikenali sebagai penyakit Hydrocephalus dan akan dirawat menggunakan Ventricular Peritoned Shunt.


“Kes seumpama ini adalah yang tertinggi di Sabah dan seluruh Malaysia kerana kurangnya kesedaran dan pengetahuan daripada ibu bapa. Selain itu ia juga disebabkan oleh masalah kemiskinan dan lambat jumpa doktor,” katanya.


Katanya, pesakit akan dirawat menggunakan VP Shunt atau Ventricular peritoned Shunt, iaitu mengalirkan cairan otak yang dikenali serebro spinal atau CSS dari kepala ke perut.
Pembedahan yang dilakukan itu bukan untuk mengecilkan kepala tetapi ia hanya mencegah kepala bayi itu daripada terus membesar. Walaupun rawatan itu berjaya, namun kemungkinan besar pemikiran bayi itu nanti tidak akan normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment